1
Aku
terjaga dari tidur. Huh, seram sungguh mimpi tadi! Dalam mimpiku, aku
berkahwin dengan Noni 3A. Suasana ketika itu meriah. Aku duduk di
depan seorang kadi yang menjabat tanganku erat.
“Aku
nikahkan engkau dengan Nurri Syuhada bte Rahim dengan mas kahwinnya
RM50 tunai,” ucap kadi itu.
Dengan lancar dalam satu nafas aku
melafazkan, “Aku terima nikahnya Nurri Syuhada bte Rahim dengan mas
kahwinnya RM50 tunai.”
Kemudian,
Abang Chik dan Safuan yang berperanan sebagai saksi mengesahkan ijab
kabul tersebut. Dan dengan itu, secara rasminya aku telah sah
bergelar suami kepada Noni 3A!
Doa Apabila Terganggu dan Terkejut Ketika Tidur atau Rasa Kesepian
Aku
memohon perlindungan dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna
daripada kemurkaanNya dan azabNya, daripada kejahatan hambaNya dan
daripada hasutan syaitan-syaitan dan daripada syaitan mendekatiku.
Aku
mengesat peluh dingin yang membasahi dahiku. Fuh, nasib baik mimpi!
Kalau betul, tak tahulah macam mana aku nak jalani kehidupan aku
nanti. Aku melirik jam di sebelah katilku – 4.17 pagi. Boleh solat
tahajud ni!
Ketika
aku menarik selimutku untuk keluar dari dalamnya, sesuatu yang lebih
dahsyat dan menyeramkan membuat aku separuh menjerit. Noni 3A sedang
lena di sebelahku! Oh, tidak!
Aku
duduk di tepi katil sambil memicit-micit kepalaku yang sedaya upaya
berfikir. Mengapa Noni 3A ada di sebelahku? Perkara pertama sekali
kuperiksa ialah tubuhku. Setelah kuamati dengan teliti, tubuhku
alhamdulillah masih
berbalut dengan baju dan seluar. Maksudnya tiada apa-apa yang tidak
enak berlaku antara kami berdua.
Aku
berfikir dengan lebih dalam. Mulutku berkumat-kamit membaca selawat
ke atas nabi. Itulah tindakan yang kulakukan sekiranya aku dalm
keadaan lupa. Tadi, aku bermimpi bahawa aku mengahwini Noni 3A.
Tetapi benarkah itu sekadar mimpi. Atau perkahwinan itu benar-benar
terjadi? Mataku terbeliak! Sekarang aku sudah ingat! Aku memang
mengahwini Noni 3A tengah hari tadi. Dan upacara akad nikah itu
memang benar-benar berlaku.
Astaghfirullahal ‘adzim!
Aku mengucap panjang. Penyakitku masih belum hilang rupanya. Dari
kecil hingga sekarang, penyakit ‘lupa selepas bangun’ tidak
pernah pulih. Walau berapa banyak kaedah rawatan pun yang aku
jalankan, semuanya tidak mendatangkan hasil. Aku tidak pasti sama ada
aku seorang sajakah yang menderita penyakit ini? Wallahu ‘alam.
Inilah ujian ALLAH SWT buatku.
Kulihat
Noni 3A yang masih lena. Dalam cahaya yang samar-samar kumasih dapat
melihat wajah kepenatannya. Sudah tentu dia letih melayan tetamu yang
datang sehingga pukul 11 malam tadi. Dengan ragu-ragu tanganku
menyentuh bahunya.
“Noni.
Noni,” aku menggoyang bahunya. Liatnya dia nak bangun. Bagaimana
kehendakku ingin dipenuhi kalau dia masih tidur.
Lantas
aku memasuki bilik air kemudian membawa segayung air. Kucelup
tanganku di dalam gayung itu sebelum kurenjis wajahnya. Mata Noni 3A
yang masih terpejam bergerak-gerak. Keningnya berkerut. Pun begitu,
dia masih berdegil untuk bangun. Kehendakku kala itu meronta-ronta.
Noni, kau mesti bangun! Kurenjis wajahnya dua kali.
“Eh,
apa ni?!” Noni 3A bingkas duduk. Tangannya menyapu-nyapu wajahnya
yang sedikit basah.
“Jom,”
ucapku sambil tersengih.
Noni
3A seperti terkejut. Aku tak pasti sama ada dia terkejut kerana aku
bangunkan dia, atau dia terkejut dengan perkataan yang kuucap itu.
“Jom?”
ulangnya dalam bentuk pertanyaan. Aku dapat mendengar jantungnya
berdegup kuat. Dia menepis tanganku ketika aku cuba menarik
tangannya.
“Awak
nak bawa saya ke mana?” tanyanya dengan nada risau.
Aku
tersenyum. “Malam ni… eh, silap! Pagi buta ni, saya…” kulihat
Noni 3A semakin pucat. “Saya nak ajak awak solat tahajud bersama
saya.”
Noni
3A mengeluh nafas lega. Aku beredar meninggalkan dia yang masih dalam
keadaan terkejut sambil bibirku tersengih kecil. Hehe… mesti dia
takut separuh mati dengan lakonan suspens aku tadi. Sebelum aku
menutup pintu bilik air, kusempat terdengar Noni 3A seperti mengomel
sesuatu.
2
Zaman
sekolah..
Tujuh
tahun yang lalu, aku berjaya menjejakkan kaki ke sebuah Sekolah
Berasrama Penuh. Keputusan PMRku yang cemerlang melayakkan aku
menjadi golongan pelajar SBP. Ibu bapaku berasa bangga kerana kesemua
anak mereka berjaya memasuki SBP dan MRSM.
Dan
aku lebih berasa bangga kerana akhirnya aku berjaya menebus
kekecewaan kerana tidak memasuki SBP selepas UPSR dulu. Bukan aku tak
layak, namun aku tidak mendapat sebarang tawaran. Berbeza dengan
keempat-empat abangku yang lain, mereka menjadi pelajar SBP dan MRSM
sejak tingkatan satu lagi.
Ketika
aku memasuki SBPX (nama dirahsiakan), kelompok pertama yang
menjumpaiku ialah kelompok pelajar lelaki yang anti dengan pelajar
perempuan. Maaf, mereka bukan gay. Namun, mereka kurang menyenangi
perangai kebanyakan perempuan di sekolah itu. Mereka menggelarkan
kumpulan mereka 4A (Aspura Amat Anti-Aspuri).
Memandangkan
ketika itu aku belum mempunyai ramai kenalan, secara automatiknya aku
menjadi salah seorang daripada kumpulan 4A. Kebetulan, aku juga
sememangnya tidak rapat dengan mana-mana perempuan. Apatah lagi dalam
keluargaku tiada jantina itu melainkan ibuku.
Kumpulan
4A tertubuh apabila terdapat kumpulan yang hampir sama dengan 4A
dalam kalangan aspuri. Merekalah yang memulakan dan mencetuskan
kumpulan anti-menganti ini. Nama kumpulan mereka ialah 3A (Aspuri
Anti-Aspura). Dan salah seorang daripada anggota 3A ialah Noni!
Asalnya
aku dan Noni tidaklah bermusuh sangat. Namun, ada peristiwa yang
sangat memalukan dirinya dan hampir menjatuhkan air mukaku telah
berlaku beberapa bulan selepas aku masuk di sekolah itu. Semenjak
itu, kami berdua menjadi musuh ketat. Tersangat ketat!
Namun,
sungguh tidak kusangka Noni 3A kini menjadi milikku. Aku seakan
percaya dan tidak percaya akan perkara ini. Ibuku, Hajah Rohayu,
sudah maklum bahawa kesemua anak lelakinya tidak akan membantah
kemahuannya. Begitulah cemerlangnya didikan ibu dan ayah yang membuat
kami sentiasa patuh arahan mereka. Dan kerana kepatuhanku itulah yang
menjodohkan aku dengan musuh ketatku itu.
“Ibu
nampak kamu ni dah dewasa. Kewangan kamu pun sudah stabil,” ibuku
memulakan mukadimahnya. “Jadi, ibu kepingin sangat nak melihat anak
bongsu ibu ni membina rumah tangga seperti abang-abang kamu yang
lain.”
Aku
ketika itu sekadar mengukir senyuman. Aku sudah tahu maksud tujuan
ibu memanggilku pulang ke kampung. Oleh itu, aku juga telah sedia
memasang telinga untuk mendengar luahan ibu. Malah, aku juga membawa
kejutan besar kepada ibu ketika itu.
“Ibu,
sebelum ibu bercakap lebih lanjut, saya ada sesuatu nak tunjukkan
dengan ibu.” Aku mengeluarkan sepucuk envelope besar dari beg
bimbitku.
Ibu
membukanya envelope itu dan membaca kandungannya dengan teliti. Wajah
ibu berubah antara terharu dan gembira. Dia mengucup sijil kursus
perkahwinan yang tertera namaku di atasnya.
“Kamu
sengaja buat ibu terkejut. Bila kamu ikut kursus ni?”
Aku
tertawa kecil. “Selepas ibu gesa Abang Chik kahwin dulu, saya
cepat-cepat daftar borang untuk kursus perkahwinan. Nanti tidaklah
tergopoh-gapah macam Abang Chik.”
“Kamu
sudah ada calon?”
Aku
menggeleng kepala. “Soal pasangan hidup saya, saya serahkan kepada
ibu dan ayah. Sama seperti Abang Long, Abang Chik, dan Safuan –
kecuali Abang Ngah. Saya tahu, ibu dan ayah mesti inginkan pasangan
yang terbaik dan solehah untuk anak-anak, kan?”
Ibu
mengucapkan kesyukuran kehadrat Ilahi. “InsyaALLAH minggu
depan ibu akan beritahu gerangan bidadari buat kamu nanti. Bulan
hadapan kita langsungkan majlis perkahwinan kamu tanpa pertunangan.”
Aku
mengangguk tanda setuju. Walaupun sebenarnya aku berdebar dalam hati.
Inilah pertama kalinya aku berasa berdebar kerana wanita. Dalam
hatiku, aku berdoa.
Doa
untuk Memudahkan Sebarang Urusan
Ya
Allah, tidak ada kemudahan kecuali sesuatu yang Engkau permudahkan,
Engkau menjadikan kedukaan itu mudah sekiranya Engkau kehendaki.
3
Zaman
sekarang…
Mata
Noni 3A bergenang tangis – merah. Kami berdua baru saja selesai
‘berbahas’ tentang Facebook. Aku menegurnya agar tidak berhubung
dengan lelaki lain dalam laman sosial itu. Sebagai isteri, dia tidak
boleh bergaul dengan lelaki yang tidak pernah dikenalinya.
Noni
3A menegaskan bahawa langsung tidak terdetik di hatinya untuk
menjadikan kenalan-kenalan barunya itu sebagai calon suami. Sekadar
mengisi masa lapang saja. Dengan menggunakan nama dan tanggungjawabku
sebagai seorang suami, aku menegaskan bahawa aku tidak membenarkan
Noni 3A berhubung dengan kenalan-kenalan barunya itu.
“Saya
nak tahu dari mulut awak sendiri,” suara Noni 3A memecah kesepian
dalam ruang tamu. “Mengapa awak mengahwini saya kalau awak tahu
yang awak tidak mencintai saya?”
Aku
diam. Cuba memikirkan jawapan yang sesuai untuk kulontarkan kepadanya
agar selepas memberi jawapan tersebut, kami berdua tidak bertengkar
lagi. Aku sendiri pun sudah bosan dengan kehidupan berperang mulut
sebegini. Walhal, aku asalnya seorang yang tidak banyak mulut.
“Noni…”
“Jangan
panggil saya Noni!” pintas Noni 3A.
Aku
menahan sengih. Tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sedia kacau.
Gelaran Noni 3A itu diberikan oleh kumpulan 4A dahulu kerana salah
seorang ahli 4A tersalah dengar nama Nurri sebagai Noni. Semenjak
itu, gelaran Noni lekat padanya.
“Maaf.
Nurri, secara jujurnya saya sendiri tidak tahu mengapa saya
mengahwini awak. Tapi saya yakin bahawa ini ketentuan Allah s.w.t.
untuk awak dan saya. Ketentuan bahawa awak menjadi isteri saya.
Jujur, saya tidak pernah mempersoalkan tentang jodoh kita berdua.
Saya tahu Allah s.w.t. telah memberikan yang terbaik buat saya. Saya
harap awak tidak lagi mempersoalkan tentang jodoh yang ditetapkan
ini. Banyakkan istighfar. Kita telah melakukan kemungkaran jika kuasa
Allah s.w.t. tidak kita yakini.
Larangan
Mengingkari Takdir
Diriwayatkan
dari Umamah r.a., ia berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Tiga
macam orang yang tidak akan diterima dari mereka tebusan ataupun
taubat: Orang yang durhaka, orang yang suka mengungkit-ngungkit
pemberian, dan orang yang mendustakan takdir’,” (Hasan, Ibnu
‘Ashim dalam as-Sunnah [323]).
Dan…”
aku menarik nafas panjang. Mencari kekuatan untuk mengungkapkan –
“… saya cuba sebaik mungkin untuk mencintai awak. Saya harapkan
awak juga macam tu.”
Noni
3A mengesat mutiara kaca yang hampir tumpah di pipinya.
“Tapi
sampai bila?” ujarnya separuh berbisik namun masih boleh kudengari.
“Sampai bila kita nak hidup sebegini.”
“Penderitaan
ini akan tamat setelah saya sepenuhnya mencintai awak dan dalam masa
yang sama hanya saya seorang yang menjadi kekasih dalam hati awak –
setelah Allah s.w.t. dan pesuruhNya Muhammad s.a.w.” Aku sendiri
tidak menyangka bahawa aku boleh mereka sebuah ayat yang pada
pendapatku romantis islami. “Banyakkan berdoa kepadaNya agar
disemaikan benih cinta kerana Allah dalam rumah tangga kita.”
Aku
mendekatkan diri kepada Noni 3A. Kuambil tangannya dan kutekapkan di
dadaku. Aku tidak tahu mengapa aku berani menyentuh tangannya
sedangkan sebelum ini jarang sekali kami bersentuhan. Aku dapat
merasakan debaran Noni 3A ketika aku merapatkan wajahku ke wajahnya.
Pipinya merona merah. Semakin lama wajah kami mendekat. Aku
memejamkan mataku…
“Cukup!”
Serta-merta
aku mendapati tubuhku tersandar di tepi almari. Hidungku terasa
panas. Terdapat cecairan pekat sedang mengalir keluar dari dalamnya.
Darah! Noni 3A menekup mulutnya. Aku tahu, dia tidak sengaja menumbuk
batang hidungku.
“Addin!”
Noni 3A meluru pantas ke arahku.
“Auchh!!!”
aku mengaduh ketika dia menyentuh batang hidungku.
“Oh,
maaf! Maaf! Saya tak sengaja!” kelam-kabut dia jadinya.
Aku
terus menyambar tangannya. Dia terkaku apabila mata kami saling
bertentangan.
“Please…”
gumamku perlahan. “Please get me the first aid.”
Tanpa
banyak membantah, dia segera mendapatkan kotak kecemasan. Aku tertawa
sendirian sambil menahan pedih di hidung. Hmm… padan dengan muka
aku sendiri!
4
Zaman
persekolahan…
Semua
pelajar telah meninggalkan bangunan akademik. Ketika berjalan bersama
pelajar yang lain untuk ke asrama, aku tiba-tiba teringat buku Lelaki
Soleh yang tertinggal di atas meja kelasku.
“Aku
nak balik ke kelas kejap. Nak ambil barang tertinggal,” aku meminta
izin kawan-kawanku untuk tidak menyertai mereka menuju ke asrama.
Sambil
berlari-lari anak, aku masuk ke kelas 4 Umar al-Khatab. Buku berwarna
kuning kesayanganku itu tergeletak kemas tanpa terusik sedikitpun
kedudukannya ketika aku selesai membacanya tadi. Dengan senang hati,
aku mengambil buku itu.
“Maaf,
pelajar tak dibenarkan duduk di kelas antara pukul 2 petang hingga 3
petang. Ini peraturan sekolah,” seorang pengawas menegurku dari
luar pintu kelas.
“Saya
cuma nak ambil buku saya,” jelasku sambil menunjukkan buku
tersebut.
“Mengapa
tak ambil waktu prep saja?” tanya pengawas itu. “Maaflah, saya
terpaksa ambil nama awak. Nama awak?” tanya pengawas itu sambil
mengeluarkan buku catatannya.
“Tak
bolehkah awak consider sikit? Lagipun saya bukannya mencuri!” Aku
cuba mempertahankan diriku.
Pengawas
itu mengangkat mukanya – serius. “Awak pelajar baru, kan?”
Aku
mengangguk.
“Awak
sepatutnya menjaga rekod pelajar baru awak agar tidak dilabel sebagai
pelajar kurang berdisiplin. Saya dimaklumkan, pelajar pengambilan
tingkatan empat telah diberi briefing tentang disiplin sekolah ini.
Jangan disalahgunakan perkataan – ‘Saya budak baru dan saya tak
tahu peraturan di sini!’ Sekali lagi, nama awak?”
“Muhammad
Addin bin Mustaqim,” jawabku akur. “Kalau tiada apa-apa lagi,
saya minta diri dulu.”
Aku
berjalan melintasi pengawas itu tanpa menoleh sedikitpun. Antara
peraturan dalam kumpulan 4A – dilarang berbual tanpa sebab dengan
pelajar perempuan dan dilarang memandang mereka dengan sengaja.
Tidak
berapa lama aku meninggalkan kelas, aku terdengar bunyi sesuatu
mengaduh kesakitan. Kutoleh ke belakang dan mendapati pengawas tadi
sedang melutut di koridor kelasku sambil menekan perutnya. Dengan
berasa tanggungjawab, aku berpatah semula ke kelas.
“Awak
tak apa-apakah?”
“Awak
pergi! Pergi!” tegas pengawas itu sambil cuba berdiri sementara
tangannya masih menekan perut.
Dia
terciritkah? Soalku dalam hati. Namun, tiba-tiba aku tahu apa yang
menyebabkan dia kesakitan. Aku terlihat baju sekolahnya bahagian
belakang berlumuran darah. Ya ALLAH, dia cedera! Serta-merta pengawas
itu termelutut semula.
Tanpa
berfikir panjang, aku terus mengangkat pengawas itu. Aku takut dia
mati di depan mataku. Kulihat wajah pengawas itu pucat seperti mayat
dan bawah matanya berwarna hitam seperti pontianak. Oleh itu, lebih
baik aku menyelamatkan nyawanya.
“Eh,
apa awak buat ni! Lepaskan saya! Lepaskan saya!” pengawas itu
memukul-mukul dadaku.
Aku
tidak mengendahkan pukulan itu. Tujuan aku sekarang hanyalah
menyelamatkan pengawas itu dengan menghantarkannya ke bilik guru.
Nanti dia boleh dibawa ke hospital.
Akhirnya
aku sampai di bilik guru. Aku berasa lega kerana bilik tersebut masih
penuh dengan guru-guru dan beberapa pelajar yang mungkin bertanya
tentang pelajaran atau program. Pengawas itu terjerit-jerit ketika
aku masuk ke bilik guru. Mungkin rohnya dah sampai halkum agaknya,
pasal tu dia terjerit-jerit kesakitan – fikirku.
Keriuhan
yang datang dari pengawas itu serta-merta mendapat perhatian semua
orang dalam bilik guru. Seorang guru yang paling dekat dengan pintu
meluru mendapatkan pengawas itu.
“Mengapa
dengan dia?” tanya Cik Suwitah selepas aku menurunkan pengawas itu
ke kerusi yang ditarik oleh cikgu tersebut. Lantas, aku menjarakkan
diriku.
Kami
berdua mulai dikerumuni oleh guru-guru sementara pengawas itu mulai
menangis. Ramai yang terkejut melihat baju putihku berdarah –
terkena darah ketika mengangkat pengawas itu. Bilik guru tersebut
mulai riuh-rendah.
“Cikgu,
bawa dia segera ke hospital! Dia cedera parah! Cepat cikgu, ini
kecemasan!” ujarku.
“Mengapa
dengan dia?” ulang Cik Suwitah.
“Dia
cedera parah cikgu. Tadi, tiba-tiba dia melutut dan saya lihat dia
berdarah!” jelasku lantas membuat esakan pengawas itu lebih kuat
sambil menutup wajahnya.
“Di
mana yang cedera parah?” tanya seorang guru yang lain – ketika
itu aku belum kenal semua nama guru.
“Belakang
dia!” jawabku pantas.
Beberapa
orang guru kulihat sedang berbisik-bisik. Tiba-tiba wajah beberapa
orang guru lelaki berubah seperti menahan tawa sementara guru-guru
wanita menyuruh semua lelaki yang ada di situ termasuk aku untuk
meninggalkan bilik guru.
Aku
keluar bersama pelajar-pelajar lelaki yang turut berkumpul melihat
kejadian itu. Seorang pelajar tingkatan lima menarik aku jauh dari
bilik guru. Dia ketawa terbahak-bahak ketika menarik aku. Pelajar
yang lain membuntuti langkah kami.
“Kau
tahu tak darah apa yang melekat di baju kau ni?” tanyanya. “Dan
kau tahu tak apa yang membuat pengawas itu berdarah?”
Aku
menggeleng kepala.
“Pengawas
tu sedang datang bulan. Dan ini darah bulanan perempuan! Hahaha…”
pelajar tingkatan lima itu tertawa diikuti oleh pelajar yang lain.
Mataku
terbeliak! Dan permusuhan telah tercetus disebabkan kebodohanku!
Sungguh! Aku tak suka bermusuh! Dan sungguh! Aku tidak arif tentang
perempuan!
Doa
Ketika Ditimpa Sesuatu yang Tidak Disukai
Allah
sudah menakdirkan (menentukan) sesuatu yang dikehendakinya.
5
Zaman
sekarang…
“Hidung
awak dah okey belum?” tanya Noni 3A ketika menghidangkan sarapan
pagi untuk kami berdua. Wajahnya masih takut-takut.
“Saya
lebih rela dapat sakit macam ni daripada sakit hilang ingatan,”
ujarku selamba.
Noni
3A mengerutkan keningnya. “Awak ada penyakit hilang ingatan? Hmm…
sekarang ni awak kenal saya tak?”
Aku
tertawa kelucuan. “Saya hilang ingatan selepas bangun tidur saja.
Tak lama lepas tu okey semula.”
“Tak
pernah saya dengar penyakit macam tu. Awak ni kes pertamalah ya?”
Aku
mengangkat bahu. “Entahlah. Agaknya kot.”
“Awak
tak pernah berubatkah?” Noni 3A mulai bertanya seperti seorang
polis menyoal siasat penjenayah.
“Dah
banyak kali saya berubat. Bermacam-macam rawatan saya buat. Tapi
ALLAH SWT belum mengizinkan saya untuk sembuh. Mungkin ada hikmah di
sebalik penyakit ni yang saya belum ketahui,” ujarku panjang lebar.
Noni
3A mengangguk. Aku tak tahu untuk apa dia mengangguk. Sama ada dia
faham atau pun ingin menandakan bahawa perbualan tamat setakat itu
saja.
Selepas
menghabiskan sarapan yang disediakan, aku mengambil kunci kereta yang
tersimpan di dalam mangkuk kaca khas di atas meja. Noni 3A
tergesa-gesa dari dapur menuju ke pintu utama.
“Addin!”
panggilnya.
Aku
menoleh, “Ya, mengapa?”
Sambil
membetulkan tudungnya, dia melangkah menuju kereta.
“Petang
ni boleh tak awak balik awal sikit? Saya nak beli barang,” ujarnya.
“Eh,
bukankah dua hari lepas kita dah berbelanja barang dapur? Tak kan dah
habis?” aku kebingungan.
“Bukan
nak beli barang dapurlah,” dia mencebik. “Saya nak beli sedikit
barang.”
“Hmm…
yalah kalau macam tu. Jumpa awak petang ni. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Petang
itu, seperti yang dirancangkan, kami bertolak ke pusat membeli barang
yang dimaksudkan Noni 3A. Dalam perjalan, dia menjadi penunjuk arah
sementara aku memandu mengikut arahannya. Aku memberhentikan kereta
di hadapan semua pusat farmasi – Farmasi Syifa’ Muslim.
“Awak
nak ikut tak?” tanyanya ketika aku mematikan enjin.
“Hmm…
takpelah. Saya tunggu dalam kereta saja.”
Sememangnya
aku keletihan ketika itu. Mana tidaknya, balik saja dari pejabat
terus keluar semula untuk memandu Noni 3A. Radio Ikim kupasang,
mendengar celoteh juruhebahnya dalam bahasa arab. Tidak lama
kemudian, aku terlelap sehinggalah tingkap keretaku diketuk.
“Maaflah
buat awak lama menunggu,” ujar Noni 3A selepas masuk ke dalam
kereta.
“Awak
beli apa?” Mataku melirik pada bungkusan yang dibawanya.
Noni
3A tersenyum. Wah, menawan sekali senyumannya! Jantungku berdegup
kencang seperti genderang mahu perang – seperti lirik lagi Ingin
Bercinta.
“Semua
ni saya belikan untuk merawat penyakit ‘hilang ingatan selepas
bangun tidur’ awak tu,” ujarnya sambil mengangkat bungkusan itu.
“Mengapa
awak susah-susah nak belikan untuk saya?”
Noni
3A mencebik. “Pasal saya tak nak awak anggap saya sebagai orang
asing ketika saya kejutkan awak. Sedih tau kalau ‘suami’ tak
kenal ‘isteri’ walau sesaat.” Ketika mengungkapkan ayat
terakhir, aku dapat melihat pipi Noni 3A bertukar merah.
“Hmm…”
sambil memulakan pemanduan, aku menyambung perbualan kami. “Berapa
yang awak bayar tadi. Biar saya bayar semula dengan awak.”
“Eh,
tak perlu! Lagipun duit yang saya gunakan tu ialah duit lebihan
belanja barang dapur hari tu. Saya cuma tambah sikit saja,” Noni 3A
menolak selembut mungkin tawaranku tadi.
“Terima
kasih, Nurri.” Dan mulai saat itu aku mulai memanggilnya dengan
nama sebenarnya – Nurri yakni ‘cahayaku’. Syukur alhamdulillah
aku dikurniakan isteri sepertinya. At least, she brights my life!
Hak
atas Pasangan Suami Isteri
Sabda
Rasulullah saw. di Haji Wada’, “Ketahuilah, bahwa kalian
mempunyai hak-hak atas wanita-wanita (isteri-isteri) kalian, dan
sesungguhnya wanita-wanita (isteri-isteri) kalian mempunyai hak-hak
atas kalian.” (Diriwayatkan para pemilik Sunan dan At-Tirmidzi
men-shahih-kan hadits ini).
6
Zaman
sekarang…
“Ini
tablet buah zaitun dan ini pula minyaknya,” ujar Nurri sambil
menunjukkan bungkusan ubat dan sebotol minyak yang tertera logo
farmasi.
“Khasiat
buah zaitun ini ialah dapat mencegah penyakit pembuluh nadi,
peningkatan tahap kolestrol, peningkatan tekanan darah, penyakit
kencing manis, dan kegemukan. Malah ia juga dapat mencegah sebahagian
daripada pelbagai jenis barah.
Hadis
Kelebihan Buah Zaitun
Sabda
Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud, Makanlah buah zaitun dan
minyakkan rambut dengannya kerana buah zaitun itu keluar dari pohon
yang berkat. [Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ini
hadis hasan]
“Semoga
darah di bahagian kotak memori awak dapat mengalir lancar dan minyak
yang disapukan di atas kepala awak tu menyenangkan pemikiran awak,”
jelas Nurri panjang lebar.
Kemudian
dia mengeluarkan pula ubat-ubatan yang lain – saya rasa semuanya
adalah ubat. “Ini pula ialah tablet habbatus sauda’, jus habbatus
sauda’, dan minyak jintan hitam.”
“Apa
beza habbatus sauda’ dengan jintan hitam?” aku mencelah
penerangan Nurri.
“Kedua-duanya
adalah sama. Yang membezakannya ialah habbatus sauda’ nama Arab,
jintan hitan nama Melayu. Hehe…” Ketika itu, mahu saja kucubit
pipi Nurri – sangat mencuitkan hati.
“Habbatus
sauda’ ni pun ada kelebihannya. Berdasarkan kajian Pusat Penelitian
Florida, habbatus sauda’ mampu meningkatkan dan menambah daya
kekuatan dan daya tahan tubuh manusia bagi melindunginya daripada
penyakit serta melawan kuman dan bahan kimia aktif,” Nurri berhenti
seketika untuk merehatkan celotehnya.
“Kalau
kita kaitkan dengan penyakit awak, khasiat habbatus sauda’
insyaALLAH boleh menguatkan daya ingatan awak.
Hadis
Kelebihan Habbatus Sauda’
Ummul
Mukminin Aisyah r.ha berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya habbatus sauda’
mengandungi ubat bagi semua jenis penyakit kecuali al-sam.” Aisya
bertanya, “Apakah itu al-sam?” Dijawab oleh Baginda, yang
bermaksud: “Al-sam adalah kematian.” [Muttafaq ‘alaih]
Berdasarkan
hadis ini, Nabi junjungan besar kita Muhammad SAW telah memberi petua
untuk merawat penyakit. Jadi, kita amalkanlah petua ini.”
Aku
menghulurkan air kosong kepadanya. Selepas mengucap terima kasih, dia
meneguk air itu tiga kali – mengikut sunah. Aku perhatikan saja
tindak-tanduknya. Aku sendiri tidak tahu mengapa sejak akhir-akhir
ini aku terpikat dengan setiap tindakan Nurri. Mungkinkah aku telah
jatuh cinta?
Oh,
mustahil! Aku tetap ingat apa yang dilakukannya terhadapku sewaktu di
sekolah dulu. Aku masih ingat! Dan sukar untuk aku lupakan. Kerana
itulah, aku dan dia masih menggunakan ‘saya-awak’. Kami berdua
belum serasi. Malah, aku belum pernah sekalipun ‘menyentuhnya’
sejak dua bulan perkahwinan kami.
“Di
mana awak tahu semua ni?” tanyaku.
“Dari
majalah Solusi isu 17. Dalam tu terkandung fakta yang mengatakan
bahawa penduduk Palestin merupakan penduduk paling sihat di dunia.
Faktornya ialah mereka mengamalkan cara pemakanan nabi,” syarah
Nurri bersungguh-sungguh.
“Malah
mereka berterima kasih kepada Israel kerana tembok yang dibina di
sekeliling mereka menyebabkan mereka tidak terkena tempias
ubat-ubatan barat yang ingin disalurkan kepada mereka. Pasal itu
jugalah mereka masih dapat bertahan dengan bahan kimia fosforus.
Subhanallah, menakjubkan, kan?” sambungnya lagi.
Aku
mengangguk setuju sambil membalas senyumannya. Kemudian, Nurri
meminta izin untuk menyiapkan baju yang ingin kupakai esok untuk ke
pejabat. Walau keruh bagaimanapun perhubungan kami, namun dia tetap
menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri. Buat entah ke berapa
kalinya, aku bersyukur kepada ALLAH SWT. Dalam hatiku tidak
putus-putus berdoa agar cinta keranaNYA mekar dalam diri kami berdua.
Setelah
memastikan Nurri telah naik ke tingkat atas, aku mengambil gelas yang
digunakannya tadi. Dalam gelas tersebut masih tersisa sedikit air.
Aku mengangkat gelas itu di paras mata sambil memusing-musingnya. Dan
akhirnya aku jumpa apa yang aku cari – bekas bibir Nurri pada gelas
tersebut. Dengan lafaz basmalah, kuminum air itu pada bekas bibir
Nurri.
Rasulullah
SAW Seorang yang Romantik
Dari
Aisyah r.ha berkata: “Suatu saat ketika saya haid, saya minum
dengan gelas Rasulullah SAW. Kemudian baginda minum di tempat saya
meletakkan mulut. Ketika saya haid dan tubuh saya berkeringat, saya
memberikan gelas pada Rasulullah dan baginda minum di tempat mana
saya minum.” [HR Muslim]
7
Zaman persekolahan...
Aku terhendap-hendap di hadapan
bangunan akademik. Menanti kemunculan Noni 3A untuk meronda bangunan
tersebut. Aku dah tahu jadual bertugasnya – Rabu selepas kelas dan
Jumaat selepas prep petang.
Semenjak kejadian tempoh hari,
dia telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan membawa ‘rakan
setugas’. Manalah tahu dia senggugut lagi. Tetapi aku tahu, rakan
setugasnya itu selalu memeriksa kelas yang berasingan.
Akhirnya, setelah lima belas
minit pelajar-pelajar meninggalkan bangunan akademik selepas prep
petang – Noni 3A kelihatan berjalan di koridor tingkat tiga. Dengan
langkah yang tersangatlah senyapnya, aku menuju ke arahnya.
“Noni!”
seruku dari belakangnya.
Noni 3A menoleh! Serta-merta dia
menjerit – “Mak!!!”
Aku menjadi gelabah ketika itu.
Jeritan Noni 3A – aku yakin – dapat didengari seantero kawasan
sekolah.
“Shh!
Shh!” Aku menyuruhnya diam namun dia berdegil. Malah tindakan
seterusnya lebih dahsyat. Dia melempar buku catatannya ke arahku.
Zupp! Sempatku elak. Kemudian dia
membaling pula pennya kepadaku. Zupp! Aku dapat elak lagi. Dan
tiba-tiba…
PONG!!!
Kepalaku pitam. Pandanganku kala
itu perlahan-lahan menjadi gelap. Oh, aku menghampiri pengsan! Namun,
kugagahkan diri melangkah mendekati Noni 3A. Dan sekali lagi…
PONG!!!
Dua kali lagi…
PONG!!! PONG!!!
Aku pengsan.
Dua jam. Tiga jam. Entahlah, aku
sendiri tidak tahu berapa lama aku terlantar di bilik sakit ini.
Namun, apa yang aku tahu, aku telah terlepas latihan hoki. Langit di
luar tingkap menunjukkan senja menghampiri Maghrib.
“Itulah.
Lain kali jangan nak mengacau anak dara orang. Perbuatan tu tak elok.
Berdosa!” ujar Cikgu Kamil, guru bahagian kesihatan.
“Mengapa
saya di sini, cikgu?” tanyaku sambil menyentuh belakang kepalaku
yang berdenyut-denyut. “Auchh!” aduhku ketika tersentuh benjolan
sebesar bola golf di kepalaku.
“Fazilah,
kawan Nurri, pukul kepala kamu dengan replika Menara Kuala Lumpur.
Replika tu diambil dari kelas yang satu lagi – sebelah kelas kamu
nak kacau Nurri!” jawab Cikgu Kamil selamba sambil menanda
buku-buku pelajarnya.
“Saya
apa?” tanyaku terkejut. “Saya nak kacau Nurri? Siapa yang
pandai-pandai mereka cerita ni, cikgu?”
“Aik,
kedua-dua pengawas tu sendiri yang cakap yang kamu nak mengusik Nurri
ketika dia berseorangan! Nasib baik Fazilah terdengar jeritannya
petang tadi,” jawab Cikgu Kamil.
Aku menepuk dahiku. “Mereka
salah fahamlah, cikgu! Saya bukannya nak mengusik dia!”
“Habis,
mengapa kamu tiba-tiba muncul di belakang dia secara senyap-senyap?
Bukankah perbuatan itu sangat mencurigakan? Seolah-olah kamu ingin
me…”
“Tidak,
cikgu! Tidak!” aku memprotes. “Saya tiada niat nak buat perkara
tu. Saya cuma nak mohon maaf daripada Nurri atas kejadian hari tu!”
Cikgu Kamil menutup buku yang
sedang diperiksanya tadi. Dia merenung ke dalam anak mataku –
mencari kebenaran kata-kataku tadi. Aku tidak mengedipkan mataku.
Cuba meyakinkan bahawa aku benar.
“Hmm…
saya tak boleh nak buat apa-apa untuk kamu. Saya cuma boleh merawat
benjol di kepala kamu tu. Teruk dia pukul – boleh menyebabkan
amnesia!” lelucon Cikgu Kamil seraya ketawa mendengar lawaknya
sendiri. Perut buncitnya turut berombak-ombak seiring dengan tawanya
yang pelik.
Menyedari bahawa aku tidak
ketawa, mukanya kembali serius. “Malam ni Cikgu Rosli nak berjumpa
dengan kamu di Bilik Disiplin. Kamu beritahulah dia perkara sebenar,
okey? Sekarang kamu boleh balik ke asrama.”
Usai mengucap terima kasih, aku
meninggalkan bilik tersebut. Kepalaku masih pening-pening namun itu
tidak menghalangku daripada memasang sebuah ikrar.
Ya, aku berikrar! Aku tidak akan
menuntut kemaafan daripada Noni 3A! Maafkan aku, Abang Azlan. Arahan
abang tidak dapat kuturuti! Malam ini, aku akan berdepan dengan
musuhku di hadapan beberapa orang guru. Doa, jangan pernah lupa!
Doa
Ketika Berhadapan Dengan Musuh
Cukuplah
bagi kami pertolongan Allah dan Allahlah sebaik-baik penolong.
8
Zaman sekarang…
Hari ini aku sendirian di dalam
kereta. Selalunya Nurri turut berada di dalam kereta ini kerana aku
perlu menghantarnya ke UIAM. Namun hari ini dia tiada kelas untuk
dihadiri. Menarik bukan, aku telah bekerja sedangkan isteriku masih
bergelar mahasiswi walaupun hakikatnya usia kami sama – 24 tahun.
Tahun ini merupakan tahun ketiga Nurri di universiti antarabangsa
tersebut.
Alhamdulillah, ALLAH SWT memberi
rezeki kepadaku untuk masuk ke alam pekerjaan lebih awal berbanding
rakan-rakan yang sebaya denganku. Sebaik sahaja tamat SPM, aku terus
mengambil A-Level di Australia Matriculation (AUSMAT) dalam bidang
perakaunan.
Selepas itu aku menyambung
pengajian di University of Melbourne, universiti kedua terbaik di
negara kanggaru tersebut. Memandangkan aku ditaja oleh Sime Darby
Property sejak dari matrikulasi sehingga tamat pengajian di
universiti, aku terikat dengan kontrak pekerjaan dalam syarikat agam
tersebut. Aku hanya berehat dua bulan sahaja selepas graduasi. Pada
bulan seterusnya, aku mulai bekerja – ketika itu aku berumur 22
tahun.
Pendapatanku, alhamdulillah,
sangat lumayan sehingga teman-temanku mengusik bahawa aku boleh
berkahwin lebih jika aku mahu. Namun, aku punya prinsip. Aku lebih
senang untuk mengahwini seorang wanita sahaja sebagai permaisuri
hidupku seperti sekarang. Anehnya, bibit-bibit percintaan antara aku
dan Nurri lambat berkembang! Segalanya hanya kuserahkan kepada ALLAH
SWT.
Pagi-pagi begini, terkandas dalam
kesesakan trafik telah menjadi rutin harian bagi setiap pekerja.
Hanya radio yang menjadi peneman kebanyakan pemandu. Sudah tentu
radio pilihanku ialah Ikim.FM. Radio islami ini sangat berguna
untukku yang sedang berusaha mengislahkan diri menjadi lebih
beragama.
Jika sebelum ini, aku selalu
membuka siaran Era.FM yang memutarkan banyak lagu terkini. Malah,
celoteh Pak Nil dan Din Beramboi dalam Riuh Pagi Era menggamatkan
lagi suasana dalam konti mereka. Namun, Nurri tidak suka. Nurri
langsung tidak ketawa mendengar lelucon mereka berdua.
“Banyak
ketawa akan menyebabkan hati kita mati,” tegurnya ketika aku
tertawa mendengar lawak Din Beramboi yang ketika itu memainkan watak
sebagai tukang jahit kasut.
Hadis
Banyak Ketawa Hati Mati
Rasulullah bersabda yang
bermaksud: “Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa
itu mematikan hati.” [Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi]
“Hati
mati disebabkan oleh manusia lalai mengingati ALLAH SWT. Awak mesti
pernah dengar hadis ini, kan? Perbandingan orang yang berzikir dengan
orang yang tidak berzikir adalah seperti orang yang hidup dengan
orang yang mati. Orang yang tidak berzikir itu adalah seperti orang
mati. Malah ALLAH SWT juga telah berfirman dalam al-Quran iaitu;
“Maka
hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak.”
[Surah at-Taubah, 9:82]
Saya bukan menolak untuk
berhibur. Namun, berhibur itu ada batasannya. Kita tidak boleh
berhibur sehingga boleh menyakitkan hati orang lain. Malah, hiburan
yang menipu wajar kita tinggalkan. Saya nak mengajak awak untuk
berhibur dengan cara yang boleh mendekatkan kita dengan ALLAH. Oleh
itu...” Nurri menekan punat radio kereta. Alunan nasyid kemudiannya
berkumandang dalam kereta.
Subhanallah! Serta-merta aku
berasa tenang dan dalam masa yang sama turut berasa terhibur. Setiap
bait kata juruhebah Ikim.FM sangat berhikmah. Semuanya dipetik dari
kitab suci al-Quran. Semenjak itu, selera hiburanku berubah kepada
hiburan yang lebih islami. Syukur kepadaMU ya ALLAH! Terima kasih
juga wahai isteriku, Nurri! Dakwahmu memang menarik.
Ingat
Allah Hati Akan Tenang
(Iaitu)
orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan
zikrullah (emngingati ALLAH). Ketahuilah dengan 'zikrullah' itu,
tenang tenteramlah hati manusia. [Surah Ar-Ra'd, 13:28]
Setelah beberapa lama
terperangkap dalam lautan kereta, akhirnya semua kenderaan dapat
berjalan dengan lancar. Aku meneruskan perjalanan ke pejabat.
Alhamdulillah, aku selamat sampai di sana tanpa terlewat sedikitpun.
Baru sahaja aku melabuhkan
punggung di tempatku, telefon bimbitku bergetar. Segera kuseluk poket
seluarku dan mengeluarkan alat komunikasi bersaiz kecil itu.
“Assalamualaikum,”
salamku sebaik menekan punat hijau.
“Waalaikumussalam,”
jawab Nurri – suaranya kedengaran cemas. “Addin, awak di mana
sekarang?”
“Saya
baru saja sampai di pejabat. Mengapa?”
“Saya
ada masalah! Eh, bukan! Kita ada masalah!” dia memperbetul struktur
ayatnya.
“Maksud
awak?”
“Awak
mesti tak percaya kalau saya beritahu awak,” ujar Nurri membuat aku
seperti bermain teka-teki. “Ada orang buang anak depan rumah kita!”
Aku terdiam. Cuba untuk memproses
ungkapannya sebentar tadi masuk ke dalam kepalaku. Pertama, ada orang
buang anak – itu perbuatan salah. Kedua, pembuangan itu bertempat
di depan rumahku – itu satu musibah. Hasilnya, perbuatan salah
telah menjadi musibah kepada aku dan Nurri!
“Betulkah
ni?” tanyaku setelah menangkap maklumat yang disampaikan Nurri.
“Betul.
Sekarang bayi tu ada dalam rumah! Di luar sekarang hujan
renyai-renyai. Saya takut bayi ni sakit!” jelas Nurri seperti
hampir menangis. “Awak, saya tak tahu nak buat apa sekarang ni.
Awak baliklah!” rayunya terdesak.
“Baiklah,
saya balik sekarang! Awak jangan buat apa-apa sehingga saya sampai,
okey?” arahku dengan perasaan cemas.
Setelah mengisi borang keluar
awal, aku terus meninggalkan pejabat. Dalam fikiranku mulai
berserabut. Huh! Siapa pula yang hilang akal membuang anak di depan
rumah aku ni? Dah tiada sikap keperimanusiaankah manusia sekarang ni?
Anak dibuang macam sampah sahaja! Nurri, tunggu abang sampai!
9
Zaman persekolahan…
“Abang
Azlan tolonglah faham. Berita tu tak benar!” aku cuba menyakinkan
Abang Azlan. Berita tentang aku cuba ‘mengganggu’ kehormatan Noni
3A tersebar dengan pantas di sekolah.
Di mana saja aku berjalan, pasti
mata-mata meluat turut bersama dalam perjalananku. Sindiran-sindiran
daripada kebanyakan pelajar juga tidak putus-putus menghentamku.
Ketika itu, aku berasa sangat lemah. Mahu saja kusumpah
pelajar-pelajar yang menyindirku itu. Tetapi itu satu tindakan yang
bodoh. Malah boleh memburukkan lagi keadaan yang telah sedia rosak
ini.
“Abang
tahu, kamu cuba melaksanakan nasihat abang dalam mesyuarat tempoh
hari. Tapi, cara kamu tu salah. Bukankah lebih molek kamu membawa
teman untuk berjumpa dengannya?” tegur Abang Azlan penuh berhikmah.
Istighfar
Aku minta ampun daripada Allah
yang tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain daripadaNya, yang
hidup dan yang menguruskan makhlukNya dan aku bertaubat kepadaNya.
Aku beristighfar panjang. Mahu
saja aku menangis di hadapan Abang Azlan ketika itu kerana kukira dia
sebagai abang kandungku sendiri. Ukhuwah kami teramat erat. Namun,
egoku sebagai lelaki masih utuh. Tidak mungkin kutumpahkan mutiara
jantanku semata-mata kerana tuduhan wanita.
“Apa
yang Cikgu Rosli cakap dengan kamu dalam Bilik Disiplin semalam?”
tanya Abang Azlan.
“Dia
cakap dia tidak akan kenakan hukuman berat kepada saya kerana dia
percaya bahawa saya tidak bermaksud untuk menggangu Noni,” jawabku
sedikit lega. “Tapi saya tetap mendapat demerit pasal saya berada
di bangunan akademik sewaktu pelajar dilarang berada di sana.”
“Alhamdulillah,
baguslah kalau macam tu.” Abang Azlan menepuk bahuku tanda syabas.
“Tapi macam mana dengan pemilihan hoki?”
Aku mengeluh kasar. “Saya
terlepas untuk pemilihan. Nampaknya tiadalah peluang saya untuk
mendapat markah sepuluh peratus dalam kokurikulum.”
Kebimbanganku jelas terpamer di
wajah. Sistem kemasukan IPT sekarang memerlukan sepuluh peratus
daripada aktiviti kokurikulum manakala selebihnya ialah pencapaian
dalam akademik. Penolong Kanan sekolah pernah menjelaskan dalam
perhimpunan bahawa walau cemerlang bagaimanapun seseorang pelajar
itu, jika tiada peratus dalam kokurikulum maka tiada IPT yang layak
untuknya. Itulah yang merisaukan aku sekarang.
“Persoalan
tentang markah kokurikulum tu tak perlu kamu risaukan. Abang akan
cuba membantu kamu,” Abang Azlan tersenyum mesra.
Mataku lantas membundar –
kembali bersemangat!
“Bagaimana?”
“Kamu
dah lupakah yang abang ni bekas pembahas terbaik dalam HKSBP tahun
lepas?” tanya Abang Azlan, cuba memancingku untuk berfikir lebih
kritis.
“Ya,
saya tahu. Tapi, apa kaitannya dengan saya?”
“Markah
sepuluh peratus yang kamu kejar itu tersimpan dalam arena
perbahasan,” jawab Abang Azlan ringkas.
“Maksud
abang… saya perlu masuk perbahasan untuk merebut peluang peratus
kokurikulumkah?” tanyaku dengan nada terkejut.
Pertanyaanku dibalas dengan
anggukan.
“Masalahnya
saya tak pandai berbahas,” luahku.
Abang Azlan tertawa. “Abang
boleh tolong kamu berlatih. Lagipun, pemilihan untuk wakil perbahasan
bermula minggu hadapan. Kalau berlatih sekarang, insyaALLAH kamu
boleh mewakili sekolah.”
“Sungguh,
bang! Saya runsing sekarang ni. Saya risau kalau yang dikejar tak
dapat, akademik yang digendong berciciran,” aku mengeluh lagi.
Entahlah, sejak akhir-akhir ini aku banyak mengeluh seolah-olah aku
tidak tabah menempuh ujian ALLAH SWT.
“Addin,
dalam 4A ni kita bukan saja berkumpul untuk memboikot golongan aspuri
yang ‘kita tak boleh terima perangainya’. Malah, dalam kumpulan
ini juga kita berkumpul untuk saling membantu,” nasihat Abang
Azlan. “Di sini abang ada satu doa yang baik untuk kita amalkan
jika dalam keadaan runsing.”
“Oh,
ayat ni dah lama saya hafal! Tapi tak tahu pula ia dibacakan ketika
runsing.”
“Ayat
ni bukan saja untuk orang yang runsing. Banyak lagi kegunaannya
seperti jika kita tidak terdaya melakukan sesuatu pekerjaan dan
sebagainya,” jelas Abang Azlan. “Hmm… tak lama lagi waktu rehat
tamat. Sebelum masuk ke kelas, abang nak tambah kata-kata abang
tentang ‘sikap anti kita’. Ingat, kita hanya anti kepada aspuri
yang ‘berperangai tidak molek’. Yang baik-baik kita tak anti,
cuma kita tak boleh dekati kerana masanya belum sesuai untuk
bercinta.”
Selepas
menghabiskan minuman, kami berdua meninggalkan kantin sekolah yang
mulai lengang. Menurut Abang Azlan, aku akan dilatih berbahas mula
pada petang ini ketika riadah. Syukur yang tidak terhingga kepada
ALLAH yang mengurniakan senior seperti Abang Azlan kepadaku.
bersambung......