Friday, 19 July 2013

Aspura anti aspuri



1
Aku terjaga dari tidur. Huh, seram sungguh mimpi tadi! Dalam mimpiku, aku berkahwin dengan Noni 3A. Suasana ketika itu meriah. Aku duduk di depan seorang kadi yang menjabat tanganku erat.
Aku nikahkan engkau dengan Nurri Syuhada bte Rahim dengan mas kahwinnya RM50 tunai,” ucap kadi itu.
Dengan lancar dalam satu nafas aku melafazkan, “Aku terima nikahnya Nurri Syuhada bte Rahim dengan mas kahwinnya RM50 tunai.”

Kemudian, Abang Chik dan Safuan yang berperanan sebagai saksi mengesahkan ijab kabul tersebut. Dan dengan itu, secara rasminya aku telah sah bergelar suami kepada Noni 3A!

                                            Doa Apabila Terganggu dan Terkejut Ketika Tidur atau Rasa Kesepian
1.bp.blogspot.com/_qkB4OOF1W4o/Rlb8mB8g0TI/AAAAAAAAANM/GuQncKVuN4w/s400/image-30.gif

Aku memohon perlindungan dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada kemurkaanNya dan azabNya, daripada kejahatan hambaNya dan daripada hasutan syaitan-syaitan dan daripada syaitan mendekatiku.
Aku mengesat peluh dingin yang membasahi dahiku. Fuh, nasib baik mimpi! Kalau betul, tak tahulah macam mana aku nak jalani kehidupan aku nanti. Aku melirik jam di sebelah katilku – 4.17 pagi. Boleh solat tahajud ni!
Ketika aku menarik selimutku untuk keluar dari dalamnya, sesuatu yang lebih dahsyat dan menyeramkan membuat aku separuh menjerit. Noni 3A sedang lena di sebelahku! Oh, tidak!
Aku duduk di tepi katil sambil memicit-micit kepalaku yang sedaya upaya berfikir. Mengapa Noni 3A ada di sebelahku? Perkara pertama sekali kuperiksa ialah tubuhku. Setelah kuamati dengan teliti, tubuhku alhamdulillah masih berbalut dengan baju dan seluar. Maksudnya tiada apa-apa yang tidak enak berlaku antara kami berdua.
Aku berfikir dengan lebih dalam. Mulutku berkumat-kamit membaca selawat ke atas nabi. Itulah tindakan yang kulakukan sekiranya aku dalm keadaan lupa. Tadi, aku bermimpi bahawa aku mengahwini Noni 3A. Tetapi benarkah itu sekadar mimpi. Atau perkahwinan itu benar-benar terjadi? Mataku terbeliak! Sekarang aku sudah ingat! Aku memang mengahwini Noni 3A tengah hari tadi. Dan upacara akad nikah itu memang benar-benar berlaku.
Astaghfirullahal ‘adzim! Aku mengucap panjang. Penyakitku masih belum hilang rupanya. Dari kecil hingga sekarang, penyakit ‘lupa selepas bangun’ tidak pernah pulih. Walau berapa banyak kaedah rawatan pun yang aku jalankan, semuanya tidak mendatangkan hasil. Aku tidak pasti sama ada aku seorang sajakah yang menderita penyakit ini? Wallahu ‘alam. Inilah ujian ALLAH SWT buatku.
Kulihat Noni 3A yang masih lena. Dalam cahaya yang samar-samar kumasih dapat melihat wajah kepenatannya. Sudah tentu dia letih melayan tetamu yang datang sehingga pukul 11 malam tadi. Dengan ragu-ragu tanganku menyentuh bahunya.
“Noni. Noni,” aku menggoyang bahunya. Liatnya dia nak bangun. Bagaimana kehendakku ingin dipenuhi kalau dia masih tidur.
Lantas aku memasuki bilik air kemudian membawa segayung air. Kucelup tanganku di dalam gayung itu sebelum kurenjis wajahnya. Mata Noni 3A yang masih terpejam bergerak-gerak. Keningnya berkerut. Pun begitu, dia masih berdegil untuk bangun. Kehendakku kala itu meronta-ronta. Noni, kau mesti bangun! Kurenjis wajahnya dua kali.
“Eh, apa ni?!” Noni 3A bingkas duduk. Tangannya menyapu-nyapu wajahnya yang sedikit basah.
“Jom,” ucapku sambil tersengih.
Noni 3A seperti terkejut. Aku tak pasti sama ada dia terkejut kerana aku bangunkan dia, atau dia terkejut dengan perkataan yang kuucap itu.
“Jom?” ulangnya dalam bentuk pertanyaan. Aku dapat mendengar jantungnya berdegup kuat. Dia menepis tanganku ketika aku cuba menarik tangannya.
“Awak nak bawa saya ke mana?” tanyanya dengan nada risau.
Aku tersenyum. “Malam ni… eh, silap! Pagi buta ni, saya…” kulihat Noni 3A semakin pucat. “Saya nak ajak awak solat tahajud bersama saya.”
Noni 3A mengeluh nafas lega. Aku beredar meninggalkan dia yang masih dalam keadaan terkejut sambil bibirku tersengih kecil. Hehe… mesti dia takut separuh mati dengan lakonan suspens aku tadi. Sebelum aku menutup pintu bilik air, kusempat terdengar Noni 3A seperti mengomel sesuatu.

2
                                                                                     Zaman sekolah..
Tujuh tahun yang lalu, aku berjaya menjejakkan kaki ke sebuah Sekolah Berasrama Penuh. Keputusan PMRku yang cemerlang melayakkan aku menjadi golongan pelajar SBP. Ibu bapaku berasa bangga kerana kesemua anak mereka berjaya memasuki SBP dan MRSM.
Dan aku lebih berasa bangga kerana akhirnya aku berjaya menebus kekecewaan kerana tidak memasuki SBP selepas UPSR dulu. Bukan aku tak layak, namun aku tidak mendapat sebarang tawaran. Berbeza dengan keempat-empat abangku yang lain, mereka menjadi pelajar SBP dan MRSM sejak tingkatan satu lagi.
Ketika aku memasuki SBPX (nama dirahsiakan), kelompok pertama yang menjumpaiku ialah kelompok pelajar lelaki yang anti dengan pelajar perempuan. Maaf, mereka bukan gay. Namun, mereka kurang menyenangi perangai kebanyakan perempuan di sekolah itu. Mereka menggelarkan kumpulan mereka 4A (Aspura Amat Anti-Aspuri).
Memandangkan ketika itu aku belum mempunyai ramai kenalan, secara automatiknya aku menjadi salah seorang daripada kumpulan 4A. Kebetulan, aku juga sememangnya tidak rapat dengan mana-mana perempuan. Apatah lagi dalam keluargaku tiada jantina itu melainkan ibuku.
Kumpulan 4A tertubuh apabila terdapat kumpulan yang hampir sama dengan 4A dalam kalangan aspuri. Merekalah yang memulakan dan mencetuskan kumpulan anti-menganti ini. Nama kumpulan mereka ialah 3A (Aspuri Anti-Aspura). Dan salah seorang daripada anggota 3A ialah Noni!
Asalnya aku dan Noni tidaklah bermusuh sangat. Namun, ada peristiwa yang sangat memalukan dirinya dan hampir menjatuhkan air mukaku telah berlaku beberapa bulan selepas aku masuk di sekolah itu. Semenjak itu, kami berdua menjadi musuh ketat. Tersangat ketat!
Namun, sungguh tidak kusangka Noni 3A kini menjadi milikku. Aku seakan percaya dan tidak percaya akan perkara ini. Ibuku, Hajah Rohayu, sudah maklum bahawa kesemua anak lelakinya tidak akan membantah kemahuannya. Begitulah cemerlangnya didikan ibu dan ayah yang membuat kami sentiasa patuh arahan mereka. Dan kerana kepatuhanku itulah yang menjodohkan aku dengan musuh ketatku itu.
“Ibu nampak kamu ni dah dewasa. Kewangan kamu pun sudah stabil,” ibuku memulakan mukadimahnya. “Jadi, ibu kepingin sangat nak melihat anak bongsu ibu ni membina rumah tangga seperti abang-abang kamu yang lain.”
Aku ketika itu sekadar mengukir senyuman. Aku sudah tahu maksud tujuan ibu memanggilku pulang ke kampung. Oleh itu, aku juga telah sedia memasang telinga untuk mendengar luahan ibu. Malah, aku juga membawa kejutan besar kepada ibu ketika itu.
“Ibu, sebelum ibu bercakap lebih lanjut, saya ada sesuatu nak tunjukkan dengan ibu.” Aku mengeluarkan sepucuk envelope besar dari beg bimbitku.
Ibu membukanya envelope itu dan membaca kandungannya dengan teliti. Wajah ibu berubah antara terharu dan gembira. Dia mengucup sijil kursus perkahwinan yang tertera namaku di atasnya.
“Kamu sengaja buat ibu terkejut. Bila kamu ikut kursus ni?”
Aku tertawa kecil. “Selepas ibu gesa Abang Chik kahwin dulu, saya cepat-cepat daftar borang untuk kursus perkahwinan. Nanti tidaklah tergopoh-gapah macam Abang Chik.”
“Kamu sudah ada calon?”
Aku menggeleng kepala. “Soal pasangan hidup saya, saya serahkan kepada ibu dan ayah. Sama seperti Abang Long, Abang Chik, dan Safuan – kecuali Abang Ngah. Saya tahu, ibu dan ayah mesti inginkan pasangan yang terbaik dan solehah untuk anak-anak, kan?”
Ibu mengucapkan kesyukuran kehadrat Ilahi. “InsyaALLAH minggu depan ibu akan beritahu gerangan bidadari buat kamu nanti. Bulan hadapan kita langsungkan majlis perkahwinan kamu tanpa pertunangan.”
Aku mengangguk tanda setuju. Walaupun sebenarnya aku berdebar dalam hati. Inilah pertama kalinya aku berasa berdebar kerana wanita. Dalam hatiku, aku berdoa.

                                                           Doa untuk Memudahkan Sebarang Urusan
3.bp.blogspot.com/_qkB4OOF1W4o/SKRQawplupI/AAAAAAAAAUQ/ND-FP_Cwz1I/s400/image-43.gif
Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali sesuatu yang Engkau permudahkan, Engkau menjadikan kedukaan itu mudah sekiranya Engkau kehendaki.


3

                                                             Zaman sekarang…
Mata Noni 3A bergenang tangis – merah. Kami berdua baru saja selesai ‘berbahas’ tentang Facebook. Aku menegurnya agar tidak berhubung dengan lelaki lain dalam laman sosial itu. Sebagai isteri, dia tidak boleh bergaul dengan lelaki yang tidak pernah dikenalinya.
Noni 3A menegaskan bahawa langsung tidak terdetik di hatinya untuk menjadikan kenalan-kenalan barunya itu sebagai calon suami. Sekadar mengisi masa lapang saja. Dengan menggunakan nama dan tanggungjawabku sebagai seorang suami, aku menegaskan bahawa aku tidak membenarkan Noni 3A berhubung dengan kenalan-kenalan barunya itu.
“Saya nak tahu dari mulut awak sendiri,” suara Noni 3A memecah kesepian dalam ruang tamu. “Mengapa awak mengahwini saya kalau awak tahu yang awak tidak mencintai saya?”
Aku diam. Cuba memikirkan jawapan yang sesuai untuk kulontarkan kepadanya agar selepas memberi jawapan tersebut, kami berdua tidak bertengkar lagi. Aku sendiri pun sudah bosan dengan kehidupan berperang mulut sebegini. Walhal, aku asalnya seorang yang tidak banyak mulut.
“Noni…”
“Jangan panggil saya Noni!” pintas Noni 3A.
Aku menahan sengih. Tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sedia kacau. Gelaran Noni 3A itu diberikan oleh kumpulan 4A dahulu kerana salah seorang ahli 4A tersalah dengar nama Nurri sebagai Noni. Semenjak itu, gelaran Noni lekat padanya.
“Maaf. Nurri, secara jujurnya saya sendiri tidak tahu mengapa saya mengahwini awak. Tapi saya yakin bahawa ini ketentuan Allah s.w.t. untuk awak dan saya. Ketentuan bahawa awak menjadi isteri saya. Jujur, saya tidak pernah mempersoalkan tentang jodoh kita berdua. Saya tahu Allah s.w.t. telah memberikan yang terbaik buat saya. Saya harap awak tidak lagi mempersoalkan tentang jodoh yang ditetapkan ini. Banyakkan istighfar. Kita telah melakukan kemungkaran jika kuasa Allah s.w.t. tidak kita yakini.
Larangan Mengingkari Takdir
Diriwayatkan dari Umamah r.a., ia berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Tiga macam orang yang tidak akan diterima dari mereka tebusan ataupun taubat: Orang yang durhaka, orang yang suka mengungkit-ngungkit pemberian, dan orang yang mendustakan takdir’,” (Hasan, Ibnu ‘Ashim dalam as-Sunnah [323]).

Dan…” aku menarik nafas panjang. Mencari kekuatan untuk mengungkapkan – “… saya cuba sebaik mungkin untuk mencintai awak. Saya harapkan awak juga macam tu.”
Noni 3A mengesat mutiara kaca yang hampir tumpah di pipinya.
“Tapi sampai bila?” ujarnya separuh berbisik namun masih boleh kudengari. “Sampai bila kita nak hidup sebegini.”
“Penderitaan ini akan tamat setelah saya sepenuhnya mencintai awak dan dalam masa yang sama hanya saya seorang yang menjadi kekasih dalam hati awak – setelah Allah s.w.t. dan pesuruhNya Muhammad s.a.w.” Aku sendiri tidak menyangka bahawa aku boleh mereka sebuah ayat yang pada pendapatku romantis islami. “Banyakkan berdoa kepadaNya agar disemaikan benih cinta kerana Allah dalam rumah tangga kita.”
Aku mendekatkan diri kepada Noni 3A. Kuambil tangannya dan kutekapkan di dadaku. Aku tidak tahu mengapa aku berani menyentuh tangannya sedangkan sebelum ini jarang sekali kami bersentuhan. Aku dapat merasakan debaran Noni 3A ketika aku merapatkan wajahku ke wajahnya. Pipinya merona merah. Semakin lama wajah kami mendekat. Aku memejamkan mataku…
“Cukup!”
Serta-merta aku mendapati tubuhku tersandar di tepi almari. Hidungku terasa panas. Terdapat cecairan pekat sedang mengalir keluar dari dalamnya. Darah! Noni 3A menekup mulutnya. Aku tahu, dia tidak sengaja menumbuk batang hidungku.
“Addin!” Noni 3A meluru pantas ke arahku.
“Auchh!!!” aku mengaduh ketika dia menyentuh batang hidungku.
“Oh, maaf! Maaf! Saya tak sengaja!” kelam-kabut dia jadinya.
Aku terus menyambar tangannya. Dia terkaku apabila mata kami saling bertentangan.
“Please…” gumamku perlahan. “Please get me the first aid.”
Tanpa banyak membantah, dia segera mendapatkan kotak kecemasan. Aku tertawa sendirian sambil menahan pedih di hidung. Hmm… padan dengan muka aku sendiri!

4
Zaman persekolahan…
Semua pelajar telah meninggalkan bangunan akademik. Ketika berjalan bersama pelajar yang lain untuk ke asrama, aku tiba-tiba teringat buku Lelaki Soleh yang tertinggal di atas meja kelasku.
“Aku nak balik ke kelas kejap. Nak ambil barang tertinggal,” aku meminta izin kawan-kawanku untuk tidak menyertai mereka menuju ke asrama.
Sambil berlari-lari anak, aku masuk ke kelas 4 Umar al-Khatab. Buku berwarna kuning kesayanganku itu tergeletak kemas tanpa terusik sedikitpun kedudukannya ketika aku selesai membacanya tadi. Dengan senang hati, aku mengambil buku itu.
“Maaf, pelajar tak dibenarkan duduk di kelas antara pukul 2 petang hingga 3 petang. Ini peraturan sekolah,” seorang pengawas menegurku dari luar pintu kelas.
“Saya cuma nak ambil buku saya,” jelasku sambil menunjukkan buku tersebut.
“Mengapa tak ambil waktu prep saja?” tanya pengawas itu. “Maaflah, saya terpaksa ambil nama awak. Nama awak?” tanya pengawas itu sambil mengeluarkan buku catatannya.
“Tak bolehkah awak consider sikit? Lagipun saya bukannya mencuri!” Aku cuba mempertahankan diriku.
Pengawas itu mengangkat mukanya – serius. “Awak pelajar baru, kan?”
Aku mengangguk.
“Awak sepatutnya menjaga rekod pelajar baru awak agar tidak dilabel sebagai pelajar kurang berdisiplin. Saya dimaklumkan, pelajar pengambilan tingkatan empat telah diberi briefing tentang disiplin sekolah ini. Jangan disalahgunakan perkataan – ‘Saya budak baru dan saya tak tahu peraturan di sini!’ Sekali lagi, nama awak?”
“Muhammad Addin bin Mustaqim,” jawabku akur. “Kalau tiada apa-apa lagi, saya minta diri dulu.”
Aku berjalan melintasi pengawas itu tanpa menoleh sedikitpun. Antara peraturan dalam kumpulan 4A – dilarang berbual tanpa sebab dengan pelajar perempuan dan dilarang memandang mereka dengan sengaja.
Tidak berapa lama aku meninggalkan kelas, aku terdengar bunyi sesuatu mengaduh kesakitan. Kutoleh ke belakang dan mendapati pengawas tadi sedang melutut di koridor kelasku sambil menekan perutnya. Dengan berasa tanggungjawab, aku berpatah semula ke kelas.
“Awak tak apa-apakah?”
“Awak pergi! Pergi!” tegas pengawas itu sambil cuba berdiri sementara tangannya masih menekan perut.
Dia terciritkah? Soalku dalam hati. Namun, tiba-tiba aku tahu apa yang menyebabkan dia kesakitan. Aku terlihat baju sekolahnya bahagian belakang berlumuran darah. Ya ALLAH, dia cedera! Serta-merta pengawas itu termelutut semula.
Tanpa berfikir panjang, aku terus mengangkat pengawas itu. Aku takut dia mati di depan mataku. Kulihat wajah pengawas itu pucat seperti mayat dan bawah matanya berwarna hitam seperti pontianak. Oleh itu, lebih baik aku menyelamatkan nyawanya.
“Eh, apa awak buat ni! Lepaskan saya! Lepaskan saya!” pengawas itu memukul-mukul dadaku.
Aku tidak mengendahkan pukulan itu. Tujuan aku sekarang hanyalah menyelamatkan pengawas itu dengan menghantarkannya ke bilik guru. Nanti dia boleh dibawa ke hospital.
Akhirnya aku sampai di bilik guru. Aku berasa lega kerana bilik tersebut masih penuh dengan guru-guru dan beberapa pelajar yang mungkin bertanya tentang pelajaran atau program. Pengawas itu terjerit-jerit ketika aku masuk ke bilik guru. Mungkin rohnya dah sampai halkum agaknya, pasal tu dia terjerit-jerit kesakitan – fikirku.
Keriuhan yang datang dari pengawas itu serta-merta mendapat perhatian semua orang dalam bilik guru. Seorang guru yang paling dekat dengan pintu meluru mendapatkan pengawas itu.
“Mengapa dengan dia?” tanya Cik Suwitah selepas aku menurunkan pengawas itu ke kerusi yang ditarik oleh cikgu tersebut. Lantas, aku menjarakkan diriku.
Kami berdua mulai dikerumuni oleh guru-guru sementara pengawas itu mulai menangis. Ramai yang terkejut melihat baju putihku berdarah – terkena darah ketika mengangkat pengawas itu. Bilik guru tersebut mulai riuh-rendah.
“Cikgu, bawa dia segera ke hospital! Dia cedera parah! Cepat cikgu, ini kecemasan!” ujarku.
“Mengapa dengan dia?” ulang Cik Suwitah.
“Dia cedera parah cikgu. Tadi, tiba-tiba dia melutut dan saya lihat dia berdarah!” jelasku lantas membuat esakan pengawas itu lebih kuat sambil menutup wajahnya.
“Di mana yang cedera parah?” tanya seorang guru yang lain – ketika itu aku belum kenal semua nama guru.
“Belakang dia!” jawabku pantas.
Beberapa orang guru kulihat sedang berbisik-bisik. Tiba-tiba wajah beberapa orang guru lelaki berubah seperti menahan tawa sementara guru-guru wanita menyuruh semua lelaki yang ada di situ termasuk aku untuk meninggalkan bilik guru.
Aku keluar bersama pelajar-pelajar lelaki yang turut berkumpul melihat kejadian itu. Seorang pelajar tingkatan lima menarik aku jauh dari bilik guru. Dia ketawa terbahak-bahak ketika menarik aku. Pelajar yang lain membuntuti langkah kami.
“Kau tahu tak darah apa yang melekat di baju kau ni?” tanyanya. “Dan kau tahu tak apa yang membuat pengawas itu berdarah?”
Aku menggeleng kepala.
“Pengawas tu sedang datang bulan. Dan ini darah bulanan perempuan! Hahaha…” pelajar tingkatan lima itu tertawa diikuti oleh pelajar yang lain.
Mataku terbeliak! Dan permusuhan telah tercetus disebabkan kebodohanku! Sungguh! Aku tak suka bermusuh! Dan sungguh! Aku tidak arif tentang perempuan!
                                      Doa Ketika Ditimpa Sesuatu yang Tidak Disukai
                                  1.bp.blogspot.com/_qkB4OOF1W4o/SRpJzruu75I/AAAAAAAAAVU/0QmgBh2lPvM/s1600/image-46.gif

                        Allah sudah menakdirkan (menentukan) sesuatu yang dikehendakinya.
5

Zaman sekarang…
“Hidung awak dah okey belum?” tanya Noni 3A ketika menghidangkan sarapan pagi untuk kami berdua. Wajahnya masih takut-takut.
“Saya lebih rela dapat sakit macam ni daripada sakit hilang ingatan,” ujarku selamba.
Noni 3A mengerutkan keningnya. “Awak ada penyakit hilang ingatan? Hmm… sekarang ni awak kenal saya tak?”
Aku tertawa kelucuan. “Saya hilang ingatan selepas bangun tidur saja. Tak lama lepas tu okey semula.”
“Tak pernah saya dengar penyakit macam tu. Awak ni kes pertamalah ya?”
Aku mengangkat bahu. “Entahlah. Agaknya kot.”
“Awak tak pernah berubatkah?” Noni 3A mulai bertanya seperti seorang polis menyoal siasat penjenayah.
“Dah banyak kali saya berubat. Bermacam-macam rawatan saya buat. Tapi ALLAH SWT belum mengizinkan saya untuk sembuh. Mungkin ada hikmah di sebalik penyakit ni yang saya belum ketahui,” ujarku panjang lebar.
Noni 3A mengangguk. Aku tak tahu untuk apa dia mengangguk. Sama ada dia faham atau pun ingin menandakan bahawa perbualan tamat setakat itu saja.
Selepas menghabiskan sarapan yang disediakan, aku mengambil kunci kereta yang tersimpan di dalam mangkuk kaca khas di atas meja. Noni 3A tergesa-gesa dari dapur menuju ke pintu utama.
“Addin!” panggilnya.
Aku menoleh, “Ya, mengapa?”
Sambil membetulkan tudungnya, dia melangkah menuju kereta.
“Petang ni boleh tak awak balik awal sikit? Saya nak beli barang,” ujarnya.
“Eh, bukankah dua hari lepas kita dah berbelanja barang dapur? Tak kan dah habis?” aku kebingungan.
“Bukan nak beli barang dapurlah,” dia mencebik. “Saya nak beli sedikit barang.”
“Hmm… yalah kalau macam tu. Jumpa awak petang ni. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Petang itu, seperti yang dirancangkan, kami bertolak ke pusat membeli barang yang dimaksudkan Noni 3A. Dalam perjalan, dia menjadi penunjuk arah sementara aku memandu mengikut arahannya. Aku memberhentikan kereta di hadapan semua pusat farmasi – Farmasi Syifa’ Muslim.
“Awak nak ikut tak?” tanyanya ketika aku mematikan enjin.
“Hmm… takpelah. Saya tunggu dalam kereta saja.”
Sememangnya aku keletihan ketika itu. Mana tidaknya, balik saja dari pejabat terus keluar semula untuk memandu Noni 3A. Radio Ikim kupasang, mendengar celoteh juruhebahnya dalam bahasa arab. Tidak lama kemudian, aku terlelap sehinggalah tingkap keretaku diketuk.
“Maaflah buat awak lama menunggu,” ujar Noni 3A selepas masuk ke dalam kereta.
“Awak beli apa?” Mataku melirik pada bungkusan yang dibawanya.
Noni 3A tersenyum. Wah, menawan sekali senyumannya! Jantungku berdegup kencang seperti genderang mahu perang – seperti lirik lagi Ingin Bercinta.
“Semua ni saya belikan untuk merawat penyakit ‘hilang ingatan selepas bangun tidur’ awak tu,” ujarnya sambil mengangkat bungkusan itu.
“Mengapa awak susah-susah nak belikan untuk saya?”
Noni 3A mencebik. “Pasal saya tak nak awak anggap saya sebagai orang asing ketika saya kejutkan awak. Sedih tau kalau ‘suami’ tak kenal ‘isteri’ walau sesaat.” Ketika mengungkapkan ayat terakhir, aku dapat melihat pipi Noni 3A bertukar merah.
“Hmm…” sambil memulakan pemanduan, aku menyambung perbualan kami. “Berapa yang awak bayar tadi. Biar saya bayar semula dengan awak.”
“Eh, tak perlu! Lagipun duit yang saya gunakan tu ialah duit lebihan belanja barang dapur hari tu. Saya cuma tambah sikit saja,” Noni 3A menolak selembut mungkin tawaranku tadi.
“Terima kasih, Nurri.” Dan mulai saat itu aku mulai memanggilnya dengan nama sebenarnya – Nurri yakni ‘cahayaku’. Syukur alhamdulillah aku dikurniakan isteri sepertinya. At least, she brights my life!
Hak atas Pasangan Suami Isteri
Sabda Rasulullah saw. di Haji Wada’, “Ketahuilah, bahwa kalian mempunyai hak-hak atas wanita-wanita (isteri-isteri) kalian, dan sesungguhnya wanita-wanita (isteri-isteri) kalian mempunyai hak-hak atas kalian.” (Diriwayatkan para pemilik Sunan dan At-Tirmidzi men-shahih-kan hadits ini).

6

Zaman sekarang…
“Ini tablet buah zaitun dan ini pula minyaknya,” ujar Nurri sambil menunjukkan bungkusan ubat dan sebotol minyak yang tertera logo farmasi.
“Khasiat buah zaitun ini ialah dapat mencegah penyakit pembuluh nadi, peningkatan tahap kolestrol, peningkatan tekanan darah, penyakit kencing manis, dan kegemukan. Malah ia juga dapat mencegah sebahagian daripada pelbagai jenis barah.
Hadis Kelebihan Buah Zaitun
Sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud, Makanlah buah zaitun dan minyakkan rambut dengannya kerana buah zaitun itu keluar dari pohon yang berkat. [Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ini hadis hasan]

“Semoga darah di bahagian kotak memori awak dapat mengalir lancar dan minyak yang disapukan di atas kepala awak tu menyenangkan pemikiran awak,” jelas Nurri panjang lebar.
Kemudian dia mengeluarkan pula ubat-ubatan yang lain – saya rasa semuanya adalah ubat. “Ini pula ialah tablet habbatus sauda’, jus habbatus sauda’, dan minyak jintan hitam.”
“Apa beza habbatus sauda’ dengan jintan hitam?” aku mencelah penerangan Nurri.
“Kedua-duanya adalah sama. Yang membezakannya ialah habbatus sauda’ nama Arab, jintan hitan nama Melayu. Hehe…” Ketika itu, mahu saja kucubit pipi Nurri – sangat mencuitkan hati.
“Habbatus sauda’ ni pun ada kelebihannya. Berdasarkan kajian Pusat Penelitian Florida, habbatus sauda’ mampu meningkatkan dan menambah daya kekuatan dan daya tahan tubuh manusia bagi melindunginya daripada penyakit serta melawan kuman dan bahan kimia aktif,” Nurri berhenti seketika untuk merehatkan celotehnya.
“Kalau kita kaitkan dengan penyakit awak, khasiat habbatus sauda’ insyaALLAH boleh menguatkan daya ingatan awak.
Hadis Kelebihan Habbatus Sauda’
Ummul Mukminin Aisyah r.ha berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya habbatus sauda’ mengandungi ubat bagi semua jenis penyakit kecuali al-sam.” Aisya bertanya, “Apakah itu al-sam?” Dijawab oleh Baginda, yang bermaksud: “Al-sam adalah kematian.” [Muttafaq ‘alaih]

Berdasarkan hadis ini, Nabi junjungan besar kita Muhammad SAW telah memberi petua untuk merawat penyakit. Jadi, kita amalkanlah petua ini.”
Aku menghulurkan air kosong kepadanya. Selepas mengucap terima kasih, dia meneguk air itu tiga kali – mengikut sunah. Aku perhatikan saja tindak-tanduknya. Aku sendiri tidak tahu mengapa sejak akhir-akhir ini aku terpikat dengan setiap tindakan Nurri. Mungkinkah aku telah jatuh cinta?
Oh, mustahil! Aku tetap ingat apa yang dilakukannya terhadapku sewaktu di sekolah dulu. Aku masih ingat! Dan sukar untuk aku lupakan. Kerana itulah, aku dan dia masih menggunakan ‘saya-awak’. Kami berdua belum serasi. Malah, aku belum pernah sekalipun ‘menyentuhnya’ sejak dua bulan perkahwinan kami.
“Di mana awak tahu semua ni?” tanyaku.
“Dari majalah Solusi isu 17. Dalam tu terkandung fakta yang mengatakan bahawa penduduk Palestin merupakan penduduk paling sihat di dunia. Faktornya ialah mereka mengamalkan cara pemakanan nabi,” syarah Nurri bersungguh-sungguh.
“Malah mereka berterima kasih kepada Israel kerana tembok yang dibina di sekeliling mereka menyebabkan mereka tidak terkena tempias ubat-ubatan barat yang ingin disalurkan kepada mereka. Pasal itu jugalah mereka masih dapat bertahan dengan bahan kimia fosforus. Subhanallah, menakjubkan, kan?” sambungnya lagi.
Aku mengangguk setuju sambil membalas senyumannya. Kemudian, Nurri meminta izin untuk menyiapkan baju yang ingin kupakai esok untuk ke pejabat. Walau keruh bagaimanapun perhubungan kami, namun dia tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri. Buat entah ke berapa kalinya, aku bersyukur kepada ALLAH SWT. Dalam hatiku tidak putus-putus berdoa agar cinta keranaNYA mekar dalam diri kami berdua.
Setelah memastikan Nurri telah naik ke tingkat atas, aku mengambil gelas yang digunakannya tadi. Dalam gelas tersebut masih tersisa sedikit air. Aku mengangkat gelas itu di paras mata sambil memusing-musingnya. Dan akhirnya aku jumpa apa yang aku cari – bekas bibir Nurri pada gelas tersebut. Dengan lafaz basmalah, kuminum air itu pada bekas bibir Nurri.
Rasulullah SAW Seorang yang Romantik
Dari Aisyah r.ha berkata: “Suatu saat ketika saya haid, saya minum dengan gelas Rasulullah SAW. Kemudian baginda minum di tempat saya meletakkan mulut. Ketika saya haid dan tubuh saya berkeringat, saya memberikan gelas pada Rasulullah dan baginda minum di tempat mana saya minum.” [HR Muslim]

7
Zaman persekolahan...

Aku terhendap-hendap di hadapan bangunan akademik. Menanti kemunculan Noni 3A untuk meronda bangunan tersebut. Aku dah tahu jadual bertugasnya – Rabu selepas kelas dan Jumaat selepas prep petang.

Semenjak kejadian tempoh hari, dia telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan membawa ‘rakan setugas’. Manalah tahu dia senggugut lagi. Tetapi aku tahu, rakan setugasnya itu selalu memeriksa kelas yang berasingan.

Akhirnya, setelah lima belas minit pelajar-pelajar meninggalkan bangunan akademik selepas prep petang – Noni 3A kelihatan berjalan di koridor tingkat tiga. Dengan langkah yang tersangatlah senyapnya, aku menuju ke arahnya.

“Noni!” seruku dari belakangnya.

Noni 3A menoleh! Serta-merta dia menjerit – “Mak!!!”

Aku menjadi gelabah ketika itu. Jeritan Noni 3A – aku yakin – dapat didengari seantero kawasan sekolah.

“Shh! Shh!” Aku menyuruhnya diam namun dia berdegil. Malah tindakan seterusnya lebih dahsyat. Dia melempar buku catatannya ke arahku.

Zupp! Sempatku elak. Kemudian dia membaling pula pennya kepadaku. Zupp! Aku dapat elak lagi. Dan tiba-tiba…

PONG!!!

Kepalaku pitam. Pandanganku kala itu perlahan-lahan menjadi gelap. Oh, aku menghampiri pengsan! Namun, kugagahkan diri melangkah mendekati Noni 3A. Dan sekali lagi…

PONG!!!

Dua kali lagi…

PONG!!! PONG!!!

Aku pengsan.

Dua jam. Tiga jam. Entahlah, aku sendiri tidak tahu berapa lama aku terlantar di bilik sakit ini. Namun, apa yang aku tahu, aku telah terlepas latihan hoki. Langit di luar tingkap menunjukkan senja menghampiri Maghrib.

“Itulah. Lain kali jangan nak mengacau anak dara orang. Perbuatan tu tak elok. Berdosa!” ujar Cikgu Kamil, guru bahagian kesihatan.

“Mengapa saya di sini, cikgu?” tanyaku sambil menyentuh belakang kepalaku yang berdenyut-denyut. “Auchh!” aduhku ketika tersentuh benjolan sebesar bola golf di kepalaku.

“Fazilah, kawan Nurri, pukul kepala kamu dengan replika Menara Kuala Lumpur. Replika tu diambil dari kelas yang satu lagi – sebelah kelas kamu nak kacau Nurri!” jawab Cikgu Kamil selamba sambil menanda buku-buku pelajarnya.

“Saya apa?” tanyaku terkejut. “Saya nak kacau Nurri? Siapa yang pandai-pandai mereka cerita ni, cikgu?”

“Aik, kedua-dua pengawas tu sendiri yang cakap yang kamu nak mengusik Nurri ketika dia berseorangan! Nasib baik Fazilah terdengar jeritannya petang tadi,” jawab Cikgu Kamil.

Aku menepuk dahiku. “Mereka salah fahamlah, cikgu! Saya bukannya nak mengusik dia!”

“Habis, mengapa kamu tiba-tiba muncul di belakang dia secara senyap-senyap? Bukankah perbuatan itu sangat mencurigakan? Seolah-olah kamu ingin me…”

“Tidak, cikgu! Tidak!” aku memprotes. “Saya tiada niat nak buat perkara tu. Saya cuma nak mohon maaf daripada Nurri atas kejadian hari tu!”

Cikgu Kamil menutup buku yang sedang diperiksanya tadi. Dia merenung ke dalam anak mataku – mencari kebenaran kata-kataku tadi. Aku tidak mengedipkan mataku. Cuba meyakinkan bahawa aku benar.

“Hmm… saya tak boleh nak buat apa-apa untuk kamu. Saya cuma boleh merawat benjol di kepala kamu tu. Teruk dia pukul – boleh menyebabkan amnesia!” lelucon Cikgu Kamil seraya ketawa mendengar lawaknya sendiri. Perut buncitnya turut berombak-ombak seiring dengan tawanya yang pelik.

Menyedari bahawa aku tidak ketawa, mukanya kembali serius. “Malam ni Cikgu Rosli nak berjumpa dengan kamu di Bilik Disiplin. Kamu beritahulah dia perkara sebenar, okey? Sekarang kamu boleh balik ke asrama.”

Usai mengucap terima kasih, aku meninggalkan bilik tersebut. Kepalaku masih pening-pening namun itu tidak menghalangku daripada memasang sebuah ikrar.

Ya, aku berikrar! Aku tidak akan menuntut kemaafan daripada Noni 3A! Maafkan aku, Abang Azlan. Arahan abang tidak dapat kuturuti! Malam ini, aku akan berdepan dengan musuhku di hadapan beberapa orang guru. Doa, jangan pernah lupa!

Doa Ketika Berhadapan Dengan Musuh

 Cukuplah bagi kami pertolongan Allah dan Allahlah sebaik-baik penolong.

8


Zaman sekarang…

Hari ini aku sendirian di dalam kereta. Selalunya Nurri turut berada di dalam kereta ini kerana aku perlu menghantarnya ke UIAM. Namun hari ini dia tiada kelas untuk dihadiri. Menarik bukan, aku telah bekerja sedangkan isteriku masih bergelar mahasiswi walaupun hakikatnya usia kami sama – 24 tahun. Tahun ini merupakan tahun ketiga Nurri di universiti antarabangsa tersebut.

Alhamdulillah, ALLAH SWT memberi rezeki kepadaku untuk masuk ke alam pekerjaan lebih awal berbanding rakan-rakan yang sebaya denganku. Sebaik sahaja tamat SPM, aku terus mengambil A-Level di Australia Matriculation (AUSMAT) dalam bidang perakaunan.

Selepas itu aku menyambung pengajian di University of Melbourne, universiti kedua terbaik di negara kanggaru tersebut. Memandangkan aku ditaja oleh Sime Darby Property sejak dari matrikulasi sehingga tamat pengajian di universiti, aku terikat dengan kontrak pekerjaan dalam syarikat agam tersebut. Aku hanya berehat dua bulan sahaja selepas graduasi. Pada bulan seterusnya, aku mulai bekerja – ketika itu aku berumur 22 tahun.

Pendapatanku, alhamdulillah, sangat lumayan sehingga teman-temanku mengusik bahawa aku boleh berkahwin lebih jika aku mahu. Namun, aku punya prinsip. Aku lebih senang untuk mengahwini seorang wanita sahaja sebagai permaisuri hidupku seperti sekarang. Anehnya, bibit-bibit percintaan antara aku dan Nurri lambat berkembang! Segalanya hanya kuserahkan kepada ALLAH SWT.

Pagi-pagi begini, terkandas dalam kesesakan trafik telah menjadi rutin harian bagi setiap pekerja. Hanya radio yang menjadi peneman kebanyakan pemandu. Sudah tentu radio pilihanku ialah Ikim.FM. Radio islami ini sangat berguna untukku yang sedang berusaha mengislahkan diri menjadi lebih beragama.

Jika sebelum ini, aku selalu membuka siaran Era.FM yang memutarkan banyak lagu terkini. Malah, celoteh Pak Nil dan Din Beramboi dalam Riuh Pagi Era menggamatkan lagi suasana dalam konti mereka. Namun, Nurri tidak suka. Nurri langsung tidak ketawa mendengar lelucon mereka berdua.

“Banyak ketawa akan menyebabkan hati kita mati,” tegurnya ketika aku tertawa mendengar lawak Din Beramboi yang ketika itu memainkan watak sebagai tukang jahit kasut.

Hadis Banyak Ketawa Hati Mati

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” [Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi]

“Hati mati disebabkan oleh manusia lalai mengingati ALLAH SWT. Awak mesti pernah dengar hadis ini, kan? Perbandingan orang yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati. Orang yang tidak berzikir itu adalah seperti orang mati. Malah ALLAH SWT juga telah berfirman dalam al-Quran iaitu;

“Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak.” [Surah at-Taubah, 9:82]

Saya bukan menolak untuk berhibur. Namun, berhibur itu ada batasannya. Kita tidak boleh berhibur sehingga boleh menyakitkan hati orang lain. Malah, hiburan yang menipu wajar kita tinggalkan. Saya nak mengajak awak untuk berhibur dengan cara yang boleh mendekatkan kita dengan ALLAH. Oleh itu...” Nurri menekan punat radio kereta. Alunan nasyid kemudiannya berkumandang dalam kereta.

Subhanallah! Serta-merta aku berasa tenang dan dalam masa yang sama turut berasa terhibur. Setiap bait kata juruhebah Ikim.FM sangat berhikmah. Semuanya dipetik dari kitab suci al-Quran. Semenjak itu, selera hiburanku berubah kepada hiburan yang lebih islami. Syukur kepadaMU ya ALLAH! Terima kasih juga wahai isteriku, Nurri! Dakwahmu memang menarik.

Ingat Allah Hati Akan Tenang

 (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah (emngingati ALLAH). Ketahuilah dengan 'zikrullah' itu, tenang tenteramlah hati manusia. [Surah Ar-Ra'd, 13:28]

Setelah beberapa lama terperangkap dalam lautan kereta, akhirnya semua kenderaan dapat berjalan dengan lancar. Aku meneruskan perjalanan ke pejabat. Alhamdulillah, aku selamat sampai di sana tanpa terlewat sedikitpun.

Baru sahaja aku melabuhkan punggung di tempatku, telefon bimbitku bergetar. Segera kuseluk poket seluarku dan mengeluarkan alat komunikasi bersaiz kecil itu.

“Assalamualaikum,” salamku sebaik menekan punat hijau.

“Waalaikumussalam,” jawab Nurri – suaranya kedengaran cemas. “Addin, awak di mana sekarang?”

“Saya baru saja sampai di pejabat. Mengapa?”

“Saya ada masalah! Eh, bukan! Kita ada masalah!” dia memperbetul struktur ayatnya.

“Maksud awak?”

“Awak mesti tak percaya kalau saya beritahu awak,” ujar Nurri membuat aku seperti bermain teka-teki. “Ada orang buang anak depan rumah kita!”

Aku terdiam. Cuba untuk memproses ungkapannya sebentar tadi masuk ke dalam kepalaku. Pertama, ada orang buang anak – itu perbuatan salah. Kedua, pembuangan itu bertempat di depan rumahku – itu satu musibah. Hasilnya, perbuatan salah telah menjadi musibah kepada aku dan Nurri!

“Betulkah ni?” tanyaku setelah menangkap maklumat yang disampaikan Nurri.

“Betul. Sekarang bayi tu ada dalam rumah! Di luar sekarang hujan renyai-renyai. Saya takut bayi ni sakit!” jelas Nurri seperti hampir menangis. “Awak, saya tak tahu nak buat apa sekarang ni. Awak baliklah!” rayunya terdesak.

“Baiklah, saya balik sekarang! Awak jangan buat apa-apa sehingga saya sampai, okey?” arahku dengan perasaan cemas.

Setelah mengisi borang keluar awal, aku terus meninggalkan pejabat. Dalam fikiranku mulai berserabut. Huh! Siapa pula yang hilang akal membuang anak di depan rumah aku ni? Dah tiada sikap keperimanusiaankah manusia sekarang ni? Anak dibuang macam sampah sahaja! Nurri, tunggu abang sampai!

9


Zaman persekolahan…

“Abang Azlan tolonglah faham. Berita tu tak benar!” aku cuba menyakinkan Abang Azlan. Berita tentang aku cuba ‘mengganggu’ kehormatan Noni 3A tersebar dengan pantas di sekolah.

Di mana saja aku berjalan, pasti mata-mata meluat turut bersama dalam perjalananku. Sindiran-sindiran daripada kebanyakan pelajar juga tidak putus-putus menghentamku. Ketika itu, aku berasa sangat lemah. Mahu saja kusumpah pelajar-pelajar yang menyindirku itu. Tetapi itu satu tindakan yang bodoh. Malah boleh memburukkan lagi keadaan yang telah sedia rosak ini.

“Abang tahu, kamu cuba melaksanakan nasihat abang dalam mesyuarat tempoh hari. Tapi, cara kamu tu salah. Bukankah lebih molek kamu membawa teman untuk berjumpa dengannya?” tegur Abang Azlan penuh berhikmah.

Istighfar


Aku minta ampun daripada Allah yang tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain daripadaNya, yang hidup dan yang menguruskan makhlukNya dan aku bertaubat kepadaNya.

Aku beristighfar panjang. Mahu saja aku menangis di hadapan Abang Azlan ketika itu kerana kukira dia sebagai abang kandungku sendiri. Ukhuwah kami teramat erat. Namun, egoku sebagai lelaki masih utuh. Tidak mungkin kutumpahkan mutiara jantanku semata-mata kerana tuduhan wanita.

“Apa yang Cikgu Rosli cakap dengan kamu dalam Bilik Disiplin semalam?” tanya Abang Azlan.

“Dia cakap dia tidak akan kenakan hukuman berat kepada saya kerana dia percaya bahawa saya tidak bermaksud untuk menggangu Noni,” jawabku sedikit lega. “Tapi saya tetap mendapat demerit pasal saya berada di bangunan akademik sewaktu pelajar dilarang berada di sana.”

“Alhamdulillah, baguslah kalau macam tu.” Abang Azlan menepuk bahuku tanda syabas. “Tapi macam mana dengan pemilihan hoki?”

Aku mengeluh kasar. “Saya terlepas untuk pemilihan. Nampaknya tiadalah peluang saya untuk mendapat markah sepuluh peratus dalam kokurikulum.”

Kebimbanganku jelas terpamer di wajah. Sistem kemasukan IPT sekarang memerlukan sepuluh peratus daripada aktiviti kokurikulum manakala selebihnya ialah pencapaian dalam akademik. Penolong Kanan sekolah pernah menjelaskan dalam perhimpunan bahawa walau cemerlang bagaimanapun seseorang pelajar itu, jika tiada peratus dalam kokurikulum maka tiada IPT yang layak untuknya. Itulah yang merisaukan aku sekarang.

“Persoalan tentang markah kokurikulum tu tak perlu kamu risaukan. Abang akan cuba membantu kamu,” Abang Azlan tersenyum mesra.

Mataku lantas membundar – kembali bersemangat!

“Bagaimana?”

“Kamu dah lupakah yang abang ni bekas pembahas terbaik dalam HKSBP tahun lepas?” tanya Abang Azlan, cuba memancingku untuk berfikir lebih kritis.

“Ya, saya tahu. Tapi, apa kaitannya dengan saya?”

“Markah sepuluh peratus yang kamu kejar itu tersimpan dalam arena perbahasan,” jawab Abang Azlan ringkas.

“Maksud abang… saya perlu masuk perbahasan untuk merebut peluang peratus kokurikulumkah?” tanyaku dengan nada terkejut.

Pertanyaanku dibalas dengan anggukan.

“Masalahnya saya tak pandai berbahas,” luahku.

Abang Azlan tertawa. “Abang boleh tolong kamu berlatih. Lagipun, pemilihan untuk wakil perbahasan bermula minggu hadapan. Kalau berlatih sekarang, insyaALLAH kamu boleh mewakili sekolah.”

“Sungguh, bang! Saya runsing sekarang ni. Saya risau kalau yang dikejar tak dapat, akademik yang digendong berciciran,” aku mengeluh lagi. Entahlah, sejak akhir-akhir ini aku banyak mengeluh seolah-olah aku tidak tabah menempuh ujian ALLAH SWT.

“Addin, dalam 4A ni kita bukan saja berkumpul untuk memboikot golongan aspuri yang ‘kita tak boleh terima perangainya’. Malah, dalam kumpulan ini juga kita berkumpul untuk saling membantu,” nasihat Abang Azlan. “Di sini abang ada satu doa yang baik untuk kita amalkan jika dalam keadaan runsing.”

“Oh, ayat ni dah lama saya hafal! Tapi tak tahu pula ia dibacakan ketika runsing.”

“Ayat ni bukan saja untuk orang yang runsing. Banyak lagi kegunaannya seperti jika kita tidak terdaya melakukan sesuatu pekerjaan dan sebagainya,” jelas Abang Azlan. “Hmm… tak lama lagi waktu rehat tamat. Sebelum masuk ke kelas, abang nak tambah kata-kata abang tentang ‘sikap anti kita’. Ingat, kita hanya anti kepada aspuri yang ‘berperangai tidak molek’. Yang baik-baik kita tak anti, cuma kita tak boleh dekati kerana masanya belum sesuai untuk bercinta.”

Selepas menghabiskan minuman, kami berdua meninggalkan kantin sekolah yang mulai lengang. Menurut Abang Azlan, aku akan dilatih berbahas mula pada petang ini ketika riadah. Syukur yang tidak terhingga kepada ALLAH yang mengurniakan senior seperti Abang Azlan kepadaku.

bersambung......

No comments: